Vokalis kumpulan Akim & The Majistret (ATM), Akim Ahmad mengakui sedia menerima kecaman apabila tampil dengan kelainan dalam muzik video terbaharu berjudul Stereotype.

Menurut Akim, muzik video terbaharu mereka mendapat inspirasi daripada muzik K-pop.

"Kami ingin memberi kelainan dalam muzik video terbaharu untuk kali ini kerana ia telah dirakamkan di Pulau Jeju, Korea pada Januari lalu.

"Muzik video itu memaparkan gaya bersahaja kesemua ahli kumpulan kami dan secara tidak langsung pengaruh element muzik dari sana turut dimasukkan dalam muzik video ini.

"Pengaruh muzik K-Pop berjaya menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia jadi tidak salah untuk kami menyelitkan unsur itu dalam muzik video Stereotype.

"Kami berharap agar dengan kelainan yang dilakukan ini dapat menarik peminat K-pop untuk meminati band kami pula selepas ini," katanya kepada Asto Gempak.

Akim bersama kumpulannya The Majistret berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaru berjudul Stereotype, di The Bee, Publika, baru-baru ini.