Penyanyi muda, Wani Kayrie yang mendapat keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini belum merancang untuk menyambung pengajian dalam waktu terdekat.

Kata Wani, 18, dia ingin memberikan fokus semula dalam bidang nyanyian selepas menyepi kerana memberikan ruang untuk pelajaran.

"Dua bulan saya berehat daripada sebarang persembahan nyanyian atau acara hiburan, jadi perancangan saya untuk kembali fokus dalam dunia seni.

"Saya memang mahu sambung belajar dalam bidang yang saya minati iaitu perakaunan dan perniagaan namun belum putuskan lagi bilakah waktunya.

"Memang saya mendapat banyak tawaran daripada pelbagai kolej selepas keputusan SPM diumumkan minggu lalu, insya-Allah suatu hari nanti saya akan sambung," katanya kepada Astro Gempak.

Wani ditemui pada majlis sambutan hari jadinya ke-18 bersama keluarga dan kelab peminat di Hotel Midah, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Majlis yang dihadiri oleh 150 orang tetamu itu turut dihadiri rakan artis antaranya Farah Hazel, Sweet Qismina, Sarah Fazny dan kumpulan Xpose.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @wanikayrie