Pengarah Ahmad Idham, mengakui kecewa dengan Skim Wajib Tayang (SWT), apabila cuma memperoleh 29 panggung pada peringkat awal untuk tayangan filem baharu arahannya iaitu Hantu Wangan.

Menurut Ahmad Idham, dia terpaksa melakukan rayuan sebanyak tiga kali sebelum memperoleh 43 panggung tayangan untuk filemnya itu.

"Saya sebenarnya tidak faham dengan SWT kerana mereka tidak ada mengeluarkan garis panduan mengenai kriteria penting yang perlu ada untuk sesebuah filem itu mendapat jumlah panggung yang banyak.

"Perkara ini menyebabkan saya ibarat mengemis di negara sendiri untuk mendapatkan jumlah panggung bagi tayangan filem sendiri dan bagi saya perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

"Pada awalnya saya hanya mendapat 29 panggung sahaja dan selepas kemukakan rayuan saya dapat 39 tapi jumlah itu sebenarnya tidak mencukupi.

"Saya juga terpaksa meminta bantuan daripada pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sebelum ditambah lagi empat panggung," katanya kepada Astro Gempak.

Ahmad Idham berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem Hantu Wangan di Mmcineplexes e@curve, Mutiara Damansara, pada Rabu.

Tambah Ahmad Idham, dia harus menyuarakan isu ini kerana ramai penerbit kecil tidak berani menyuarakan masalah sebenar yang dilalui oleh mereka, sebelum ini.

"Saya sengaja melakukan provokasi ini untuk melihat adakah SWT akan kekal dengan keputusan awal mereka atau sebaliknya selepas rayuan dilakukan.

"Ternyata selepas rayuan dikemukakan boleh pula mereka menambah jumlah panggung.

"Jadi saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dan akan mengambil tindakan dalam masa terdekat ini seandainya wujud sebarang penyelewengan di dalam SWT,"ujarnya.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Hantu Wangan di pawagam berdekatan pada 22 Mac ini.

Filem Hantu Wangan dibintangi oleh Achey, Risteena Munim, Cat Farish, Suffian Shafi, Ruminah Sidek dan Syanie Aida.