Nama penyanyi Nabila Razali semakin menjadi sebutan selepas muncul dengan single Pematah Hati.

Namun begitu, wujud sesetengah pihak yang mempertikaikan keupayaan Nabila untuk menyanyikan lagu tersebut secara langsung.

Diajukan soalan mengenai kebolehannya menyanyi ‘live’, Nabila mempunyai jawapan tersendiri.

“Apabila berkata mengenai kebolehan, semua orang boleh menyanyi secara ‘live’. Tapi perkara tersebut antara sumbang atau tak sumbang sahaja.

“Dahulu, orang pernah cakap saya tak boleh menyanyi. Saya cuba sedaya upaya untuk memperbaikinya agar dapat membuktikan bakat saya.

“Setiap persembahan, saya belajar untuk mempertingkatkan usaha dan menerima kritikan yang membina. Saya tak ambil pusing dan tidak peduli dengan kritikan yang menjatuhkan,” kata Nabila ketika ditemui di sesi perkongsian media bersama stesen radio Era semalam.

Dalam perkembangan lain, Nabila kini masih mempromosikan single Pematah Hati dan sudah mula memikirkan mengenai single seterusnya.

“Saya dah mula merancang untuk merakamkan single seterusnya. Insya-Allah, saya akan mengekalkan sentuhan Hael Husaini dalam lagu berikutnya,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Nabila