Dua tahun bekerja keras dalam bidang hiburan, pelakon Ruhainies menanam impian untuk membahagiakan hati ibu bapanya.

“Selagi termampu, saya memang mahu membahagiakan ibu bapa. Mereka merupakan nadi kehidupan saya dan menjadi tulang belakang dalam setiap perkara yang saya lakukan.

“Alhamdulillah, setakat ini saya sudah berjaya berkongsi rezeki dengan mereka. Saya sudah membawa mereka menunaikan ibadah Umrah, ibadah Haji dan baru-baru ini, saya telah membeli sebuah rumah.

“Saya bakal menetap di rumah tersebut bersama mereka. Jika saya berkahwin kelak, mereka terus akan mendiami kediaman itu dan saya akan tinggal bersama bakal suami,” kata Ruhainies.

Mahu terus membahagiakan mereka, Ruhainies juga sedar dirinya sering sibuk dengan tuntutan kerja.

“Saya sedar yang saya sangat sibuk dengan tugasan harian. Kebanyakan waktu saya selalu dihabiskan di set penggambaran dan saya kurang masa dengan mereka.

“Selagi boleh membahagiakan ibu bapa, saya akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi impian mereka,” katanya lagi.

Ruhainies kini muncul dalam siri terbaru slot Megadrama, Tak Ada Cinta Sepertimu yang merupakan naskah adaptasi novel karya Anna Milia.

Selain Ruhainies, drama bersiri 16 episod arahan Jamal Khan ini menampilkan Zahirah Macwilson, Syafiq Kyle, Fadlan Hazim dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula 12 Mac ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ruhainies