Pengacara dan pelawak Nabil Ahmad menafikan dirinya pengacara lelaki paling mahal di Malaysia.

“Nak cakap harga saya mahal, tak juga sebab saya selalu mendapat tawaran daripada penganjur yang sama, mereka ‘repeat order’ dan semuanya bergantung menerusi sesi perbincangan dengan pelanggan.

“Bagi saya, skil perhubungan awam serta hubungan baik dengan penganjur harus saya pentingkan berbanding meletakkan harga mahal,” kata Nabil.

Tambah pengacara rancangan MeleTOP ini, dia sering beringat untuk selalu merendah diri kerana kerjaya bermula dari bawah.

“Sebelum berada di kedudukan sekarang, saya hanya seorang penghantar surat. Saya pernah berjaya dalam bidang ini dan berada di kedudukan teratas, saya juga pernah jatuh dan kini bangkit semula.

“Kenapa saya harus meninggi diri? Saya pernah menerima tawaran untuk menjadi pengacara tanpa bayaran di sebuah acara yang dianjurkan di stesen minyak.

“Stesen minyak itu terletak di kampung dan saya mengenali pemiliknya semenjak saya bekerja sebagai ‘despatch’ lagi. Dia memang baik dengan saya.

“Jika acara itu melibatkan organisasi besar, takkan saya mahu meletakkan harga murah pula? Secara peribadi, soal meletakkan harga, semuanya mengikut keadaan dan boleh dibawa berbincang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Nabil kini sedang sibuk menggalas tugas sebagai pengacara untuk rancangan Ceria Megastar.

Ceria Megastar menghimpunkan 18 peserta terbaik daripada Ceria Popstar, Ceria All Stars, Ceria i-Star dan Bintang Kecil.

Rancangan ini akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, mulai 2 Mac 2018 pukul 9 malam di Astro Ceria, Astro Prima, Astro Maya HD dan platform digital Astro GO.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Nabil