Anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish mengakui kagum dengan bakat yang ditunjukkan oleh penyanyi baharu pada masa kini.

Menurut Cat, penyanyi muda kini lebih selesa bergerak secara solo berbanding menyanyi secara berkumpulan dengan menubuhkan sebuah band.

"Alhamdulillah, saya kagum dengan bakat muda yang ada sekarang ini kerana mereka dilihat mewarnai industri muzik dengan lagu-lagu yang berkualiti.

"Saya tidak nafikan, ramai penyanyi baharu pada masa kini mempunyai suara yang sedap.

"Namun apabila bercakap mengenai kumpulan, setakat ini tiada kumpulan yang bermain dengan elemen harmoni.

"Kebanyakan mereka selesa menyanyi dan bergerak secara solo berbanding tubuhkan kumpulan dan disebabkan itu kami mengambil keputusan untuk bergabung semula untuk memberi warna kepada industri muzik," katanya kepada Astro Gempak.

Cat berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Raikan Hari Lahir Boboiboy di Pejabat Kemajuan Negeri Perak, Oasis Ara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini

Tambah Cat, Ruffedge akan tampil dengan single baharu pada penghujung bulan Mac depan.

Dalam pada itu, Ruffedge akan membuat persembahan pertama secara umum sempena meraikan hari jadi animasi bersiri popular Boboiboy di Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh, Perak pada 17 Mac depan.

Sepanjang cuti sekolah bermula dari 17 hingga 25 Mac depan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan oleh MAPS untuk para pengunjung selain persembahan daripada artis terkenal, Ruffedge, Bunkface, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone.