Filem yang berkisarkan tentang kisah hidup pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records.

Tayangan perdana yang julung kali diadakan itu dicatatkan dalam The Malaysia Book of Record dan Asia Book of Records sebagai tayangan perdana filem yang bukan sahaja terbesar di Malaysia malah di peringkat Asia.

Filem Lee Chong Wei juga telah menerima satu lagi anugerah daripada The Malaysia Book of Record iaitu paparan skrin terbesar LED berukuran 40 meter X 17 meter.

Seramai 20,000 orang dalam dan luar negara telah menyaksikan tayangan sulung filem Lee Chong Wei, Menjulang Kejuaraan versi tambahan berdurasi 133 minit.

Filem terbitan bersama Cb Pictures dan Sky Events dengan kerjasama Mahu Picture telah mengubah Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi sebuah pawagam mega menggunakan layar gergasi LED berukuran 40 meter X 17 meter, sekali gus menjadikannya sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Malaysia dan Asia.

Pada majlis ini tetamu turut dihiburkan oleh Nabila Razali dan Priscilla Abby dengan menyanyi lagu tema bertajuk Cahaya Juara.

Filem yang mengisahkan tentang kehidupan pemain badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 15 Mac ini.

Filem arahan Teng Bee ini turut dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor, Jake Eng, Ahsley Hua dan Agnes Lim.