Pelakon, Datuk Farid kamil bakal didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok atas kesalahan memberi bukti palsu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, aktor berusia 37 tahun itu dijangka didakwa mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

"Dia (Farid) dijangka didakwa mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

"Kami telah memulakan siasatan berhubung laporan polis kedua yang dibuatnya dan menamakan tiga invididu dalam laporan tersebut.

"Kenyataan mereka bercanggah dengan apa yang dia dakwa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Selangor pada Khamis.

Sebelum ini Farid mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) iaitu dalam kumpulan ganja ke dalam badan, pada 11 Januari lalu.

Suami kepada aktres Diana Danielle itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Farid turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu.

Sebutan kes itu disambung pada 7 Mei depan.

Foto: The Star Online / Google

Sumber: mStar Online / The Star Online