Artis Kongsi Makanan Unik Negeri Kelahiran Masing-Masing Dalam Taste Selebriti

13 September 2016. 3.32 PM
41,144
Gaya Hidup
Artis Kongsi Makanan Unik Negeri Kelahiran Masing-Masing Dalam Taste Selebriti

13 selebriti tempatan sanggup pulang ke kampung halaman masing-masing demi merealisasikan program terbaru terbitan Astro, Taste Selebriti.

Kesemua selebriti tersebut masing-masing berkongsi kisah makanan tradisi, makanan unik serta juadah yang terkenal di negeri mereka.

Antara selebriti terlibat ialah Neelofa (Kelantan), Kamal Adli (Pahang), Ayu Raudhah (Kedah), Izreen Azminda (Perlis), Syatilla Melvin (Pulau Pinang), Zizan Razak (Terengganu), Mawi (Johor), Aril (Melaka), Sari Yanti (Negeri Sembilan), Fattah Amin (Selangor), Marsha Milan Londoh (Sabah), Hafiz Suip (Sarawak) dan Raja Ilya (Perak).

Taste Selebriti merupakan program berkonsepkan pengembaraan makanan yang pastinya membuatkan penonton teruja terutamanya apabila melihat gelagat para selebriti menikmati juadah-juadah pilihan mereka.

Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim berkata, program ini tercetus hasil daripada kepelbagaian makanan tempatan yang sering menjadi tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa yang sanggup memburu makanan kesukaan mereka.

“Taste Selebriti ini akan membawa penonton mengenali dengan lebih dekat makanan tradisi di negeri-negeri seluruh Malaysia.

“Selebriti yang terlibat mampu memberi inspirasi dan idea kepada penonton sekiranya mereka mengunjungi negeri kelahiran selebriti itu untuk mencari makanan yang sedap untuk dijamu bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

“Antara juadah dan tempat makanan popular yang pasti menjadi perhatian penonton ialah Pais Tempoyak Ikan Patin di Restoran Mabiq Pahang, Asam Pedas Tetel di Claypot Nyonya Melaka dan Lontong Power di Klang Selangor,” katanya.

Natasha ditemui pada majlis sidang media Pelancaran Taste Selebriti di Restoran Rebung.

Tambah Natasha, lebih menarik lagi setiap selebriti yang terlibat menjadi hos untuk episod mereka sendiri.

“Kalau kita lihat, sebelum ini banyak program yang berunsurkan makanan akan mengunakan seorang hos bersama selebriti jemputan untuk merasai masakan dan sebagainya.

“Berbeza dengan Taste Selebriti, selebriti yang dipilih akan mengendalikan episodnya sendiri.

“Ia bertujuan untuk memastikan pengalaman yang dialami oleh selebriti itu adalah asli dan tidak dibuat-buat,"  ujarnya.Setiap episod akan memaparkan tiga atau empat jenis hidangan menarik di samping tips perihal tempat-tempat makan hebat sekitar negeri kelahiran selebriti itu sendiri.

Taste Selebriti terbahagi kepada tiga segmen iaitu, artis berkongsi makanan kegemaran mereka di segmen pertama, makan makanan unik di segmen kedua dan ketiga memperkenalkan makanan atau restoran popular di negeri atau tempat mereka.

Taste Selebriti akan menemui penonton di saluran Astro Bella dan Astro Mustika HD, saluran 134 mulai 26 September depan pada setiap Isnin, jam 9 malam.

Fattah Amin bakal menjadi selebriti pertama membuka tirai Taste Selebriti dan bakal membawakan penonton meneroka makanan unik dan popular di negeri kelahirannya, Selangor.


Artikel Berkaitan


Komen