Filem Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak merupakan sebuah karya arahan sutradara wanita muda Indonesia, Mouly Surya dan Astro Shaw bertindak sebagai penerbit bersama.

Menampilkan kekuatan wanita sebagai tunggak penceritaan, filem ini menampilkan karakter seorang wanita bernama Marlina yang memegang status ibu tunggal.



"Filem ini mempunyai cabaran tersendiri. Jalan cerita naskah ini berkait dengan semangat wanita serta kekuatan mereka.

"Selain itu, filem ini dikuatkan lagi dengan keindahan lokasi penggambaran yang dijalankan di Pulau Sumba, Indonesia," kata Mouly.

Menariknya, karya ini turut menarik minat pencinta filem luar negara dan mendapat perhatian beberapa festival seperti Festival Filem Antarabangsa Sundance, Festival Filem Antarabangsa Hawaii dan Festival Filem Antarabangsa Karlovy Vary.



"Astro Shaw sangat berbesar hati untuk menjalin kolaborasi bersama Mouly dan krew produksi filem ini. Kami percaya filem ini mewakili cerita dari negara sekitar Asia Tenggara dan ia menampilkan satu penceritaan yang jujur.

"Saya berharap agar filem yang menampilkan wanita sebagai tunggak utama ini dapat menarik minat peminat serta pencinta filem di Malaysia," kata Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar.

Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak ditayangkan di lima buah pawagam eksklusif di GSC Mid Valley Megamall, Pavillion Kuala Lumpur, 1 Utama Shopping Centre, Paradigm Mall dan Gurney Plaza bermula hari ini (8 Mac).

Teks oleh: Kamaruddin Razal