Pelakon Fattah Amin, mengakui bersyukur apabila impiannya menjadi kenyataan selepas diberi peluang untuk berlakon di bawah produksi Skop Production.

Menurut Fattah, permulaan kariernya dalam industri bermula sebagai krew produksi Skop Production sewaktu pembikinan filem pertama Syafiq Yusof, Saya Amat Mencintaimu (SAM).

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berlakon buat pertama kali dalam filem kerana sebelum ini saya hanya bekerja di belakang tabir produksi terbabit sebagai krew untuk menyiapkan prop.

"Sewaktu itu saya pernah beritahu Syafiq, bahawa tujuan saya menyertai Skop adalah untuk menjadi pelakon dan bukannya nak jadi krew.

"Perkara itu membuatkan Syafiq terkejut dan dia cuma ketawa dengan kenyataan yang diberikan oleh saya itu.

"Sekarang ini saya bersyukur telah impian itu menjadi kenyataan kerana kita tak pernah tahu rezeki Allah itu sebenarnya luas," katanya kepada Astro Gempak.

Fattah berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem KL Special Force di Mmcineplexes e@curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Fattah, filem bercorak kepolisan ini turut dibintagi Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Puteri Balqis, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Ramona Zamzam, Shaharudin Tambi, Esma Danial dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem KL Special Force yang akan menemui penonton di pawagam pada 8 Mac depan.