Pengacara dan pelawak Nabil Ahmad mengakui sering mendedahkan anak-anaknya dengan program realiti hiburan dengan tujuan meningkatkan keyakinan diri.

Malah, Nabil sering membawa anak-anaknya, Naira Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 4, untuk menyaksikan program realiti pencarian bakat kanak-kanak seperti Ceria Megastar.

"Saya bawa anak-anak saya menyaksikan sendiri bakat dan kebolehan kanak-kanak sebaya mereka.

"Ada yang hebat menyanyi, bermain alat muzik dan pelbagai lagi bakat luar biasa yang jarang dipersembahkan di hadapan khalayak ramai.

"Tambah pula, kanak-kanak yang terbabit dalam rancangan realiti seperti Ceria Megastar akan mempersembahkan bakat mereka bersungguh-sungguh.

"Saya mahukan mereka terdedah dengan bakat sebegini sebab sikap mereka berlawanan apabila berada di khalayak ramai dan di rumah," kata Nabil kepada Astro Gempak.

Nabil juga membenarkan sekiranya anak-anaknya mahu menyertai rancangan realiti pencarian bakat.

"Saya benarkan kalau mereka berminat dengan rancangan sebegini kerana ia dapat melatih mereka untuk lebih berkeyakinan dan berketerampilan apabila berdepan dengan orang ramai," tambah Nabil.

Bertindak sebagai pengacara rancangan Ceria Megastar, Nabil teruja menantikan kejutan yang dipersembahkan oleh semua peserta setiap minggu.

Ceria Megastar mengumpulkan 18 peserta terbaik daripada Ceria Popstar, Ceria All Stars, Ceria i-Star dan Bintang Kecil.

Ceria Megastar bersiaran pada setiap hari Jumaat, mulai 2 Mac pukul 9 malam di Astro Ceria (611), Astro Prima (105), Astro Maya HD (135) dan platform digital Astro GO.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @kopi_k_sendiri