Drama bersiri terbaru berjudul Lara Aishah kini sedang hangat disiarkan di Astro Prima (saluran 105) dan Astro Maya HD (saluran 135) setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6.00 petang.

Diarahkan oleh sutradara Riza Baharudin, drama bersiri dengan durasi satu jam ini merupakan adaptasi dari siri telenovela popular Mexico yang berjudul La Loba.

Dibintangi oleh aktres hebat, Fasha Sandha, drama bersiri ini turut membariskan pelakon ternama seperti Nazim Othman, Datuk Eizlan Yusof, Jasmin Hamid, Sasqia Dahuri dan ramai lagi.

Lara Aishah turut menyediakan sarikata Bahasa Inggeris bagi memudahkan penonton yang tidak fasih berbahasa Melayu untuk turut sama menonton dan memahami jalan ceritanya.

Mula bersiaran pada 29 Ogos lalu, ramai penonton memberikan maklumbalas positif berkenaan dengan drama bersiri 100 episod ini.

Ramai yang mula memperkatakan mengenai jalan cerita drama ini yang dikatakan menarik. ‘Demam’ Lara Aishah juga telah berjangkit kepada seorang peminat yang bernama Shahril Lalass.

Shahril yang mengikuti drama bersiri ini ‘gigih’ melakonkan kembali beberapa adegan Lara Aishah dalam versi Dubsmash.

Menariknya, menerusi video Dubsmash tersebut, Shahril telah melakonkan kembali lima watak sekaligus.

Video yang dimuatnaik oleh Shahril ini telah menjadi viral di laman Facebook dan mendapat komen lucu ramai pihak.