Berkelana di Malaysia selama lebih 10 tahun, Imran Ajmain yang mula dikenali menerusi lagu Seribu Tahun aktif sebagai penyanyi.

Selain menyanyi, Imran juga mempunyai kebolehan duduk di kerusi komposer dan mencipta lagu untuk penyanyi seperti Anuar Zain, Taufik Batisah, Dina Nadzir, Sleeq dan ramai lagi.

Biarpun mencipta lagu berkualiti untuk penyanyi-penyanyi lain, impian Imran sebagai komposer seakan ‘terhalang’ kerana dia berasal dari Singapura.

“Menjadi impian setiap komposer untuk menulis lagu dan memberikannya kepada penyanyi yang sesuai.

“Apabila penyanyi itu menyampaikan lagu ciptaan komposer, pastinya pihak komposer sendiri menyimpan cita-cita untuk melihat karya mereka pergi jauh, memenangi anugerah serta diberikan pengiktirafan.

“Semenjak lebih 10 tahun lalu, saya ‘tidak layak’ untuk mencapai impian tersebut di Malaysia kerana saya merupakan warga Singapura.

“Pakai nama sebenar tak layak, apatah lagi nama samaran atau nama pena. Harapan tersebut terhalang selama 10 tahun,” kata Imran.

Namun begitu, tahun 2018 memberikan penyanyi lagu Sentiasa Merinding ini nafas baru untuk melebarkan sayapnya sebagai seorang pencipta lagu.

“Alhamdulillah, semenjak awal tahun ini saya sudah mendapat taraf Penduduk Tetap (PR) di Malaysia. Perkara ini menjadi satu permulaan baru untuk saya menghidupkan kembali impian yang lebih 10 tahun tertangguh.

“Saya akan meneruskan lagi minat mencipta lagu dan tidak akan berhenti untuk menghasilkan karya berkualiti demi peminat muzik di luar sana,” katanya ketika ditemui di Imran Ajmain Live Band Showcase pada Khamis lalu.

Menerusi showcase yang dihadiri oleh 100 orang peminat itu, Imran menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular seperti Selamat Ulang Tahun Sayang, Jika Engkau Pergi, Seribu Tahun, Sentisa Merinding dan banyak lagi.

Imran turut mempersembahkan lagu terbarunya yang berjudul Intan dan Perak kepada peminat yang hadir.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @theshahrulizzat dan @sukasucrestudio