Peguam yang mewakili dua individu yang didakwa Datuk Farid Kamil berhubung dakwaan terlibat memasukkan dadah dalam minuman pelakon itu berkemukinan bakal mengambil tindakan undang-undang.

Menurut peguam, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar, berkata, anak guamnya penyanyi kumpulan Innuendo, Ahmad Tajuddin atau Taj dan Ahmad Fairuz atau Osh daripada kumpulan Firdaus mengganggap diri mereka dianianya.

“Sebenarnya saya baru dilantik oleh Taj untuk mewakili dirinya kerana dia baru mengetahui mengenai perkara ini.

“Kami akan beri kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini.

“Soal mengambil tindakan undang-undang ke atas dakwaan Farid akan dibuat selepas ini berdasarkan keputusan siasatan polis.

“Perkara ini dilakukan untuk membersihkan semula nama kedua-dua anak guam saya ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu Akmal memberitahu kedua- dua anak guamnya juga akan memberi kenyataan dalam sebuah sidang akhbar yang akan berlansung dalam waktu terdekat.

“Barangkali kami akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini”katanya.

Dalam pada itu Taj enggan memberi sebarang komen berhubung perkara itu dan dilihat terus memasuki balai polis berkenaan.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas dalam sebuah balai polis, bulan lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Sebelum ini, Sofi ditahan pada 6 Februari lalu ketika hadir untuk memberikan keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara berhubung laporan polis yang dibuat Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah membenarkan Sofi diikat jamin sebanyak RM3,000 berserta seorang penjamin.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Manakala pada 25 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama, atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis THC iaitu dalam kumpulan ganja.