Selepas single berbahasa Inggeris sulung Kilafairy, Put The Word In dilancarkan beberapa minggu lalu, muzik video lagu itu akhirnya ditayangkan di platform YouTube Jumaat lalu.

Lagu yang dinyanyikan Kilafairy, Sean Kingston dan DJ Aku Ash itu mendapat rating yang memberangsangkan di carta muzik di beberapa negara Asia Tenggara dan antarabangsa termasuk Belgium.

Menerusi muzik video yang diarahkan oleh Bryan B, Put The Word In turut menampilkan beberapa artis popular tempatan seperti Izara Aishah, Joe Flizzow, Altimet, Idris Khan dan Kaka Azraff.

"Ini sesuatu yang berbeza. Muzik video dan kualiti lagu patutnya dibanggakan. Tahniah," puji Laila Miqaela.

"Kilafairy macam JLo Malaysia, Izara comel sangat," tambah Nur Asiah.

Namun, tidak semua menggemari muzik video tersebut dan menyifatkan tiada kesinambungan.

"Lagu memang terbaik tetapi kurang daripada visual. Nampak macam ada gabungan kualiti video yang berbeza. Tapi animasi cukup kemas dan taraf antarabangsa," komen eSafarEE.

"Maaf konsep agak berterabut dan tiada hala tuju penceritaan. Orang akan tengok sekali sahaja sebab Sean Kingston," tulis Aliashim Albani.

Ada juga beberapa komen yang menjadikan Kilafairy sebagai simbol seksual dan aksi mengghairahkan.

"Lagu elok tapi macam penari tiang," komen seorang pengguna.

"Kila twerking sekejap sangat... Tak puas," tambah pengguna lainnya.

"Ini Nicki Minaj Malaysia!" tulis Amiruddin Rosli.

Muzik video Put The Word In mula dimuat naik di YouTube pada 16 Februari lalu dan telah ditonton lebih 100,000 kali.

Kini ia menduduki tangga ke 25 video trending Malaysia.



Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: YouTube