Pelakon Zul Ariffin kini bergandingan bersama pengacara Neelofa dalam drama bersiri terbaru, Ti Amo Sweetheart 100 Hari.

Menerusi naskah adaptasi novel karya Suri Ryana itu, Zul dan Lofa kini berada di Rom, Itali bagi menjalani penggambaran drama bersiri arahan Michael Ang ini.

Menerusi pemerhatian di laman sosial, peminat setia Zul dan Lofa tidak sabar menantikan dua idola mereka ‘bercinta’ di skrin televisyen.

Malah, peminat yang teruja turut mencipta hashtag #Zulofa untuk memuat naik informasi serta foto-foto terbaru gandingan tersebut.

Biarpun drama bersiri ini belum bersiaran, hashtag #Zulofa sudah digunakan hampir 2,700 entri di laman Instagram.

Ini merupakan gandingan pertama Zul dan Lofa di kaca televisyen.

Sebelum ini, Zul bergandingan dengan Farah Nabilah dalam drama bersiri Titian Cinta manakala Lofa bergandingan dengan Alif Satar dalam drama bersiri Red Velvet.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Lofa, Michael Ang