Sepotong sedutan daripada naskhah terbaharu Star Trek: Discovery yang menampilkan pelakon kelahiran Ipoh, Tan Sri Datuk Seri Michelle Yeoh tular di Internet.

Mana tidaknya, nama Malaysia dan Pulau Langkawi disebut-sebut oleh Michelle yang melakonkan peranan Kapten Philippa Georgiou.

"Kamu tahu saya membesar di Malaysia," berikut merupakan ayat yang diungkapkan Michelle dalam babak berkenaan.

Salah satu watak lainnya bertanyakan semula kepada Michelle: "Tetapi di mana sebenarnya tempat asal kamu? Saya pernah ke sana sekali tetapi lupa nama lokasi itu."

"Pulau Langkawi," jawab Michelle.

"Betul, pantai-pantai di sana sangat cantik," sahut watak itu.


Georgiou merupakan seorang pelaut terkenal yang wataknya diwujudkan untuk siri televisyen tersebut.

Babak daripada siri tersebut kembali menjadi sebutan netizen apabila Michelle tidak mempromosikan tempat kelahirannya sendiri, Ipoh.

Namun, ada yang mengandaikan Michelle menyebut pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri itu sebagai langkah mempromosikan tempat pelancongan itu selain mewarnai watak terbabit.

"Dia dari Ipoh, cuma nak mempromosikan Pulau Langkawi dan pantai-pantainya secara tak langsung," jelas @tunteddy.

"Dia tak tanya pun Michelle Yeoh orang mana, dia tanya Kapten," tambah @hadiii5678.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Twitter, YouTube