Vokalis kumpan Caliph Busker, Azmi Saat mendedahkan dia meminta kebenaran ahli kumpulan yang lain untuk menyertai Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32).

Azmi bersaing secara solo di pentas AJL 32 menggantikan Faizal Tahir menyanyikan lagu Sejati.

“Sebelum bersetuju, saya minta izin kawan-kawan Caliph Busker yang lain. Saya tanyakan pendapat mereka.

“Alhamdulillah, mereka tiada halangan dalam penyertaan saya dalam AJL 32 sebagai artis solo.

“Mereka juga memberikan sokongan kepada saya. Ini juga merupakan salah satu cara untuk mempromosikan kumpulan Caliph Busker,” kata Azmi.

Tambah penyanyi lagu Hanya Nama-Mu ini, dia juga tidak tahu sebab sebenar dirinya dipilih untuk menggantikan Faizal di pentas AJL 32.

“Sejujurnya, saya tak tahu mereka memilih saya atas dasar apa. Saya tak hebat dan nyanyian saya juga tak seberapa.

“Apabila menerima tawaran tersebut, saya rasa sedikit gugup tetapi saya berbesar hati. Alhamdulillah, saya gembira apabila dapat melunaskan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin.

“Sudah rezeki lagu ini mendapat tempat kedua AJL 32. Terima kasih kepada Faizal, komposer dan pihak pengurusan yang percaya dengan bakat saya,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram TV3