Juara Joharockstar Bukan Jaminan Ke Final AF2016 - Emy

20 September 2016. 11.53 AM
79,601
Hiburan
Juara Joharockstar Bukan Jaminan Ke Final AF2016 - Emy

Pelajar AF2016 Emy akui menjadi juara JoHaRockstar bukanlah tiket untuk mendapat tempat di pentas akhir program berkenaan.

“Saya akur dengan keputusan dan kita kena faham ini adalah program realiti dan berkaitan dengan undian.

“Saya tahu walaupun dah jadi juara JoHaRockstar tak semestinya saya akan berjaya hingga ke peringkat akhir AF.

“Lagipun saya masuk di minggu ketiga dan pelajar-pelajar lain sudah ada peminat mereka sendiri. Saya pula masih baru dan orang pun belum kenal, mungkin itu juga salah satu faktor saya tersingkir.

“Tapi tak apalah, rezeki saya hanya sampai sini dan saya terima dengan hati terbuka. Mungkin di luar akan ada lebih banyak peluang dan saya AF ini sebagai platform permulaan saya dalam bidang ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemasukannya dalam akademi Emy atau nama sebenarnya Zahrul Hilmi Badrul Hisam tidak menafikan dia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri bersama para pelajar tersebut.

“Pada mulanya memang saya rasa ‘lost’ bila masuk AF, sukar untuk mencari rentak dan agak risau sekiranya saya tak dapat nak kejar apa yang dah pelajar AF lain belajar.

“Tapi saya bersyukur sebab mereka semua baik dan sering membantu, jadi sesi pembelajaran itu jadi lebih mudah.

“Waktu konsert pertama di minggu keempat, saya akui kekok berada di pentas seorang diri sebab sebelum ini saya dah biasa nyanyi berkumpulan.

“Bila tiada kumpulan busker saya, perasaan gementar itu memang susah nak hilang dan untuk konsert di minggu kelima ini bila saya dah boleh sesuaikan diri lain pula jadinya.

“Ada juga terfikir kenapa tersingkir di awal konsert… Tak apalah, benda dah berlaku nak buat macam cuma rasa sedih sikit bila tak dapat buat persembahan,” jelasnya.

Emy dijadualkan untuk membuat persembahan dengan lagu Ular nyanyian asal Anita Sarawak namun tidak kesampaian kerana tersingkir di awal konsert.

Saksikan Konsert AF 2016 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Manakala rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi pula boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.

Untuk mengikuti perkembangan pelajar, layari Akademi Fantasia.


Artikel Berkaitan


Komen