Pengasas Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina bakal menjanjikan pengalaman berbeza iaitu seperti berada di stadium sebenar menerusi pementasan Ola Bola The Musical yang akan bermula 8 Februari ini.

Tiara Jacquelina berkata pementasan muzikal tersebut buat pertama kali akan menggunakan teknologi pementasan digital baharu.

“Saya pasti penonton teruja kerana mereka bakal mengalami seperti berada di dalam suasana Stadium Merdeka pada 1980 semasa perlawanan kelayakan Olimpik.

“Pengalaman yang kita mahu bawakan ini dibantu dengan kandungan visual di skrin besar LED, penayangan 180 darjah, pemetaan lantai digital, visual animasi, pencahayaan yang canggih dan suasana stadium meriah dengan audio sekeliling 360 darjah.

"Bentuk teknologi digital ini membuka dunia baru dalam reka bentuk yang menarik dan luar biasa.

"Saya percaya ini akan membawa teater ke tahap yang baru, bukan hanya di Malaysia atau Asia Tenggara, tetapi mungkin kali pertama di dunia, teater muzikal mengalami seperti ini," katanya kepada Astro Gempak.

Pelakon yang membintangi Ola Bola The Musical adalah Luqman Hafidz, Lim Jian Wen, Iedil Putra, Altimet, Douglas Lim dan ramai lagi.

Ola Bola The Musical yang dipersembahkan oleh CIMB ini bakal dipentaskan di panggung sari Istana Budaya pada 8 Februari hingga 11 March 2018.

Tiket Ola Bola The Musical dijual dengan harga bermula dari serendah RM58.71.

Diskaun sebanyak 40% diberikan untuk pengguna kad CIMB atas pembelian tiket mengikut terma san syarat. Ia boleh dibeli di www.olabolamusical.com.

Teks oleh: Syafiqah Jalal