Penyanyi rap popular Joe Flizzow terkejut apabila single terbaharunya yang dilancarkan hujung tahun lalu, Drop mendapat perhatian daripada penyanyi rap antarabangsa, Lupe Fiasco.

Kata Joe, lagu Drop mendapat sambutan dalam kalangan deejay di luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jepun dan sering dimasukkan dalam senarai putar lagu di negara terbabit.

"Saya terkejut apabila lagu Drop mendapat banyak sambutan dari luar negara dan kebanyakan deejay menggunakan lagu ini untuk set playlist mereka.

"Jarang ada permintaan dari luar negara untuk karya yang saya telah hasilkan sebelum ini dan saya percaya ini peluang terbaik untuk saya melebarkan sayap ke negara luar.

"Baru-baru ini juga saya terkejut apabila mendapat emel daripada beberapa artis dari luar negara dan ini membuktikan mereka sedar akan kewujudan lagu saya.

"Malah, Lupe Fiasco sendiri ada memberikan maklum balasnya terhadap lagu Drop ketika dia singgah ke Malaysia baru-baru ini. Memang terkejut!" kata Joe kepada Astro Gempak.

Joe yang baru dilantik sebagai duta jenama jam tangan mewah Hublot juga berharap dapat membuka peluang untuknya terbabit dalam acara besar peringkat dunia.

"Sepertimana semua tahu, Hublot melantik duta-duta dalam kalangan artis dan atlet terkenal dunia yang secara tidak langsung mendekatkan saya dengan mereka.

"Insya-Allah akan ada beberapa perancangan untuk saya terbabit dalam acara besar di luar negara yang melibatkan nama-nama besar dunia," tambahnya.

Hublot antara lainnya menjalinkan kerjasama bersama selebriti popular antarabangsa seperti Usain Bolt, Pele, Depeche Mode, Lang Lang dan Bar Refaeli.

Teks oleh: Amri Hassan