Penyanyi yang popular dengan lagu Jampi, Hael Husaini mengakui tidak mahu selesa dengan genre muzik yang diketengahkan sekarang ini.

Hael atau nama sebenarya Hal Husaini Ramzi berkata sebagai penyanyi dia ingin mengentengahkan pelbagai genre muzik lain untuk single seterusnya.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan penerimaan orang ramai untuk single Jampi ini dan saya tidak mahu begitu selesa dengan pencapaiaan sekarang ini.

"Untuk single baharu nanti, saya tidak akan buat yang sama macam Jampi kerana ingin memberikan kelainan kepada pendengar.

"Sejujurnya saya minat rock dan akan cuba mengentengahkan genre muzik ini pula.

"Saya mahu lebih meneroka pelbagai genre lain agar muzik yang dibawakan nanti tidak kelihatan satu nada sahaja," katanya kepada Astro Gempak.

Hael berkata demikian ketika ditemui pada malam Anugerah Digital Muzik Era 2018 di Galaxy Banquet Hall Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada malam tesebut Hael telah memenangi kategori Lagu Viral ERA menerusi Jampi dengan menewaskan empat lagu popular lain seperti Pematah Hati, Sabar, Senyum dan Pertama Kali.