Penyanyi Amira Othman menafikan sedang bercinta dengan penyampai radio ERA, Radin.

Menurut Amira, 25, hubungannya dengan Radin hanyalah sebagai kawan baik dan tidak mempunyai hubungan istimewa seperti yang didakwa.

"Mungkin ramai yang berkata saya bercinta dengan Radin disebabkan dia sering memberi kata-kata manis atau 'pick up line' di ruangan komen di laman sosial.

"Namun perkara itu dilakukan sekadar suka-suka dan niat dia hanya untuk mengacau kerana bukan saya seorang pun yang selalu dikacau.

"Hubungan kami hanya sekadar kawan baik dalam industri dan dia sering menyokong kerjaya seni saya selama ini.

"Buat masa sekarang saya masih solo dan ingin menumpukan perhatian lebih kepada kerjaya seni dulu," katanya kepada Astro Gempak.

Amira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu bertajuk Mimpi Indah di Flora Terrace, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Mimpi Indah merupakan lagu ciptaan Hael Husaini dan diterbitkan oleh Edry Abdul Halim.