Pelakon Luqman Hafidz akui ditimpa kemalangan ketika sedang berlatih untuk pementasan Ola Bola The Musical.

Luqman Hafidz berkata, ketika latihan baru-baru ini dia terjatuh dan mengalami sedikit kecederaan.

“Ketika latihan itu mungkin saya terlalu penat dan ketika memanjat salah seorang pelakon, saya terleka dan terjatuh.

“Kebetulan ketika itu saya hanya memakai seluar jeans yang ternyata tidak sesuai untuk latihan.

“Jadi saya mengalami sedikit luka di kaki. Namun ia bukan kecederaan yang serius.

“Selepas itu saya termasuk semua orang sedar keselamatan amat penting walaupun hanya ketika membuat latihan pementasan,” katanya kepada Astro Gempak.

Luqman ditemui selepas memperkenalkan Celcom sebagai digital partner untuk pementasan Ola Bola The Musical di Istana Budaya, pada Selasa.

Mengulas mengenai persiapannya untuk melangkah ke pentas sebenar pada 8 Februari ini, Luqman memberitahu dia kini perlu menjaga stamina serta kesihatannya.

“Setakat ni latihan kami sudah lakukan sejak beberapa bulan lalu dan kini hampir setiap hari kami berlatih.

“Persiapan akhir mungkin saya perlu jaga stamina serta kesihatan saya supaya tak ‘pancit’ ketika persembahan sebenar,” katanya lagi.

Selain Luqman, Ola Bola The Musical turut dibintangi oleh pelakon Lim Jian Wen, Iedil Putra, Altimet, Douglas Lim dan ramai lagi.

Ola Bola The Musical yang dipersembahkan oleh CIMB ini bakal dipentaskan di panggung sari Istana Budaya pada 8 Februari hingga 11 March 2018.

Teks oleh: Syafiqah Jalal