Penyanyi rap Joe Flizzow mengakui kontroversi adegan gadis Brazil berbikini dalam muzik video single terbaharunya, Drop sedikit sebanyak memberikan impak kepada jumlah tontonan di YouTube.

Kata Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 39, isu tersebut membuatkan netizen cenderung untuk mengetahui identiti wanita tersebut dalam muzik video itu.

"Isu wanita berbikini dalam muzik video Drop ada baik dan buruknya. Namun, saya lebih melihat kepada impak yang baik.

"Saya terkejut apabila ada individu yang tidak meminati muzik hip hop atau rap menonton muzik video itu semata-mata mahu tahu siapa gadis Brazil itu.

"Secara tidak langsung ia menyumbang kepada jumlah tontonan di platform tersebut," katanya ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta jam tangan Hublot di St. Giles Hotel, Kuala Lumpur semalam.

Joe menegaskan dia enggan mengambil pusing kritikan netizen terhadap isu muzik video itu apatah lagi membaca komen-komen negatif.

"Saya tahu ada yang mengkritik penampilan gadis itu tetapi saya lebih selesa untuk tidak membaca komen terbabit," tambahnya.

Muzik video Drop diarahkan oleh Shimy Julaini telah menerima lebih 1.3 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 23 November 2017.

Teks oleh: Amri Hassan