Pengacara popular Datuk Aznil Nawawi, mengakui mempunyai alasan tersendiri kenapa kurang membintangi mana-mana filem atau drama sejak kebelakangan ini.

Menurut Aznil, dia akan menilai sesebuah produksi yang memberi tawaran kepadanya terlebih dahulu sebelum menerima untuk berlakon.

"Saya bukan seseorang yang memilih pengarah. Sebaliknya jika dapat sesuatu tawaran, saya akan tengok dulu secara keseluruhan produksi itu.

"Kalau mereka jenis yang sentiasa berdisplin dari segi masa, baik daripada barisan pelakon dan krew penggambaran, pasti saya senang hati menerimanya.

"Dulu saya ada pengalaman bila berlakon, call time kata pukul 9 pagi, tetapi sampai pukul 6 petang tak mula berlakon lagi.

"Jadi disebabkan itu saya agak serik untuk berlakon dan lebih memilih serta berhati-hati untuk menerima tawaran lakonan," katanya kepada Astro Gempak.

Aznil berkata demikian ketika ditemui pada majlis promosi filem Makrifat Cinta, di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Makrifat Cinta merupakan filem arahan, Kamal G yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Februari ini.

Selain Aznil antara barisan pelakon yang turut membintangi filem ini ialah Syamsul Yusof, Nabila Huda, Nora Danish dan Adi Putra.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi