Pelakon Raja Farah berhasrat untuk kembali ke bidang lakonan selepas beberapa tahun berehat untuk memberikan fokus kepada keluarga dan bisnes.

Kata Raja Farah, dia bagaimanapun perlu mendapatkan keizinan suaminya, Iskandar Ismail sebelum menerima sebarang tawaran berlakon.

"Mungkin ramai yang ingat saya sudah tinggalkan dunia lakonan sebab saya pernah memberikan kenyataan sebelum ini mahu kurangkan berlakon.

"Tetapi saya sudah berbincang dengan suami untuk kembali aktif dalam dunia lakonan namun belum masanya lagi untuk menerima watak utama.

"Saya perlu memberikan tumpuan kepada anak saya yang masih menyusu badan selain bisnes saya," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan program 2018 Media Prima di Majestic Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Raja Farah yang baru keguguran kali kedua dua bulan lalu juga berdepan masalah untuk mendapatkan semula berat badan idealnya.

"Berat badan saya naik disebabkan saya masih menyusu badan anak pertama saya yang baru setahun lebih.

"Tambah pula, selepas keguguran dua bulan lalu berat badan saya susah untuk turun," tambahnya.

Raja Farah yang pernah membintangi filem Aku Masih Dara, Legenda Budak Setan dan Anak Halal itu turut melebarkan sayap dalam bidang perniagaan kek dan macaron, Chenta by Raja Farah.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @rajafarahaziz