“Perasaan itu bercampur baur. Rasa nak pengsan, rasa gugup pun ada. Tak tahu kenapa perasaan tersebut hadir.

“Walhal, saya bakal menyanyikan lagu sendiri. Semuanya kerana memikirkan yang saya bakal bertanding di pentas idaman semua penyanyi iaitu Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32),” luah penyanyi Wany Hasrita mengenai debaran menjelang pertandingan berprestij itu.

Membawakan lagu Menahan Rindu ciptaan Ibnu dan Goufran, Wany bakal bertanding bersama 11 lagu lain pada 12 Februari ini.

Tambah Wany, dia mahu memberikan persembahan yang lebih baik berbanding di peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 32.

“Sudah tentu saya mahu memberikan persembahan terbaik. Saya sifatkan persembahan saya di peringkat Separuh Akhir kurang memuaskan jadi saya mahu memberikan sepenuhnya di AJL 32 kelak.

“Saya sering menyanyikan lagu ini, malah sebelum AJL 32 pun saya ada memenuhi undangan persembahan.

“Saya jadikan perkara tersebut sebagai satu sesi latihan untuk saya meneroka vokal dan teknik nyanyian untuk memantapkan lagi kualiti persembahan di pentas akhir,” katanya lagi.

Sebagai persediaan, Wany juga menghadiri kelas vokal bersama Ernie Zakri dan Cikgu Shafi.

AJL 32 bakal berlangsung pada 11 Februari 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil dan bakal dihoskan oleh Alif Satar bersama Sherry Alhadad.

Foto: Instagram @wanyhasrita

Teks oleh: Kamaruddin Razal