Penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri mengakui selesa bersama Syamel dan berharap peminat mendoakan yang baik-baik buat hubungan akrab mereka.

Tambah Ernie lagi, chemistry yang wujud di antara dia dan Syamel ketika bergandingan juga bukan pura-pura kerana ia sentiasa ada walaupun tidak mengadakan persembahan.

“Saya selesa bersama Syamel. Chemistry kami di atas pentas juga bukan pura-pura atau buat-buat kerana kami memang begini walaupun di luar pentas.

“Rasanya tak salah pun, kerana bersahabat baik. Terpulang kepada orang di luar sana nak kata kami bercinta atau apa, saya terima dan anggap ia doa yang baik daripada mereka kepada kami,” katanya kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya adakah dia bersedia sekiranya status sahabat bertukar menjadi kekasih, jawab Ernie dia tidak menolak sekiranya itu ketentuan.

“Saya hanya mahu semua peminat doakan yang baik-baik untuk diri dan karier saya, juga Syamel,” ujarnya ringkas.

Tidak berkongsi perihal peribadi di Instagram, Ernie berkata dia memilih untuk berbuat demikian kerana bimbang impak yang tidak baik berlaku.

“Kalau boleh saya memang tak mahu tonjolkan cerita peribadi secara terbuka terutama di media sosial kerana bimbang apa yang dikongsikan itu menjadi cerita negatif.

“Sebab itu kalau boleh cerita tentang cinta, bukan saya tidak mahu berkongsi tetapi belum fikirkan lagi perkara itu kerana mahu fokus dengan kerjaya terlebih dahulu.

“Biarlah saya capai apa yang saya cita-citakan selama ini terlebih dahulu,” katanya.


Finalis AJL 32

Ernie ditemui pada majlis sidang media AJL32 yang diadakan di Hotel JW Marriot, Rabu lalu.

AJL32 bakal diadakan pada 11 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Dalam pada itu, bercakap tentang persiapan AJL32, Ernie yang bakal mempertaruhkan lagu Aku Cinta duet bersama Syamel berkata, persiapan 70 peratus sudah disiapkan.

Katanya, dia juga akan memastikan kesihatan dan staminanya tidak terjejas untuk pertandingan itu.
12 lagu yang bakal berentap pada malam tersebut ialah Akhirnya Cinta nyanyian Salma, Aku Cinta (Erni & Syamel), Aku Yang Sebenar (Hazama), Amboi (Altimet), Bayang (Khai Bahar) dan Jampi (Hael Husaini).

Selain itu, Lebih Sempurna (Syamel), Menahan Rindu (Wany Hasrita), Sejati (Azmi Caliph Buskers), Separuh Mati Ku Bercinta (Dayang Nurfaizah), Tergantung Sepi (Haqiem Rusli) dan Warkah Untukmu (Ara Johari).


Foto: Instagram Ernie Zakri/ KakiFoto