Pelakon Raja Farah mendedahkan dia mengalami keguguran kali kedua selang beberapa bulan selepas gugur kali pertama tahun lalu.

Keguguran pertama berlaku tiga hari menjelang sambutan Syawal tahun lalu manakala keguguran kali kedua berlalu dua bulan lepas.

"Selepas melahirkan Imran, saya pernah keguguran sekitar bulan Julai lalu, dua bulan lepas saya keguguran lagi sekali.

"Saya tidak tahu pun saya mengandung namun apabila keguguran kali sekali saya rasa sangat sedih memandangkan suami saya mahukan anak cepat memandangkan jarak usia kami yang jauh.

"Ketika keguguran kali kedua, usia kandungan saya memasuki lapan minggu dan saya syak ia berlaku kerana saya terlalu aktif dengan bisnes.

"Saya sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan, Terengganu, Kedah dan Melaka sampaikan saya demam dan mengalami pendarahan.

"Apabila mendapat tahu, rupa-rupanya saya sudah keguguran," katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui pada majlis tayangan program 2018 Media Prima di Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Raja Farah, 29, bagaimanapun melihat ujian yang menimpanya satu hikmah bagi dirinya dan suami, Iskandar Ismail.

"Mungkin Allah mahu memberikan Imran lebih banyak masa untuk bermanja dengan kami dan dia belum bersedia untuk mendapat adik. Saya pegang perkara yang berlaku ada hikmahnya," tambahnya.

Raja Farah dan Iskandar berkahwin pada 6 September 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Imran, 2 tahun.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @rajafarahaziz