Juara Gegar Vaganza 4 (GV4), Aishah mendedahkan dia menerima hadiah daripada individu tidak dikenali setiap hari sejak menyertai rancangan tersebut.

Individu berbeza-beza yang menghadiahkan barangan dan pelbagai jenis produk itu sebenarnya terdiri daripada peminat dan usahawan dalam talian.

Kata Aishah, dek terlalu banyak hadiah yang diterimanya setiap hari adakalanya dia tidak sempat untuk membukanya satu persatu.

"Alhamdulillah, rezeki saya tidak putus walaupun sudah habis GV4.

"Setiap hari posmen tidak pernah gagal menghantar barang yang diberikan peminat ke rumah saya sehinggakan mereka sudah boleh hafal nombor kad pengenalan saya.

"Kadang-kadang saya ada juga menerima produk daripada peniaga dalam talina yang mahukan saya membuat reviu barangan mereka.

"30 tahun saya dalam bidang seni dan inilah impak luar biasa yang saya rasa," katanya teruja.

Aishah ditemui sempena majlis meraikan kelab peminatnya Aishah FC di Firezone, Melawati Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Aishah bakal muncul dengan single lagi balada yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Teks oleh: Amri Hassan