Pengacara popular Datuk Aznil Nawawi, menasihati generasi pelakon baru supaya dapat memberi komitmen sepenuhnya dalam kerja yang dilakukan.

Menurut Aznil, komitmen yang diberikan oleh sesorang pelakon itu merupakan kunci utama untuk mereka bertahan lama dalam industri hiburan.

"Nak tahan lama kena beri komitmen sepenuhnya pada tugas yang diberikan kerana itu adalah tugas kita sebagai pelakon.

"Bagi saya tak kisahlah jika watak yang diberikan cuma cameo sahaja, tetapi saya rasa ‘bersalah’ jika tidak memberikan sepenuh komitmen.

"Memang menjadi tugas seorang pelakon itu untuk turun sama-sama memberi sokongan dalam mempromosikan filem lakonan mereka kepada masyarakat.

"Ini memang sudah menjadi tanggungjawab seorang pelakon itu, jadi mereka hanya perlu jalankan sahaja," katanya kepada Astro Gempak.

Aznil berkata demikian ketika ditemui pada majlis promosi filem Makrifat Cinta, di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Menurut Aznil walaupun hanya membuat kemunculan khas dalam filem itu, dia tetap memberikan sepenuh komitmen melakukan promosi filem tersebut.

"Watak saya dalam filem ini sebagai cameo dan saya cuma menjadi diri sendiri sebagai pengacara yang membongkar cerita usahawan berjaya.

"Jadi tidak salah jika saya turut serta memberi sokongan terhadap filem ini dengan melakukan promosi," ujarnya.

Makrifat Cinta merupakan filem arahan, Kamal G yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Februari ini.

Selain Aznil antara barisan pelakon yang turut membintangi filem ini ialah Syamsul Yusof, Nabila Huda, Nora Danish dan Adi Putra.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi