Pelakon Nur Fazura akui bertuah dapat bekerja dengan produksi filem Ayat Ayat Cinta 2.

Ayat Ayat Cinta 2 merupakan filem keempat lakonan Fazura di Indonesia selepas Bulan Terbelah di Langit Amerika, Warkop DKI Reborn dan Rafathar.

“Alhamdulillah, pengalaman bekerja dengan produksi filem Ayat Ayat Cinta 2 merupakan satu peluang keemasan. Saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerja dengan mereka.

“Apabila ditawarkan, saya tak mengambil masa yang lama untuk menerimanya.

“Saya memang peminat setia filem Ayat Ayat Cinta yang pertama dan peluang untuk berlakon dalam filem kedua memang tidak akan saya lepaskan,” kata Fazura.

Tambah pelakon filem Pisau Cukur ini, sangat mudah untuk dirinya bekerja dengan pelakon-pelakon Indonesia lain.

“Sangat senang bekerja dengan pelakon-pelakon Indonesia lain seperti Fedi Nuril, Dewi Sandra, Tatjana Saphira dan ramai lagi.

“Saya juga rasa gembira dapat bekerja dengan Bront Palarae untuk pertama kalinya. Bayangkan, selama ini saya memang mahu berlakon dengan Bront.

“Akhirnya Ayat Ayat Cinta 2 menemukan kami. Pengalaman bekerja dalam filem ini memang tidak akan saya lupakan,” katanya lagi.

Ayat Ayat Cinta 2 mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 11 Januari 2018.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Fazura