Penyanyi Wany Hasrita akui gementar untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32).

“Saya rasa sangat gementar. Macam nak pengsan pun ada menanti tarikh tersebut. Kadang-kadang, saya rasa macam nak ‘skip’ bulan Februari.

“Saya tak sangka dapat bertanding satu pentas dengan artis terkenal seperti Dayang, Hazama dan ramai lagi.

“Saya akan mencuba untuk memberikan persembahan terbaik, Insya-Allah,” kata Wany ketika ditemui di sidang media AJL 32 sebentar tadi.

Bakal bertanding menerusi lagu Menahan Rindu ciptaan Ibnu dan Goufran, Wany melakukan persiapan dengan menghadiri kelas vokal bersama Ernie Zakri dan Cikgu Shafi.

“Sebagai permulaan, saya belajar vokal dan berlatih bersama Ernie. Selepas saya mendapat susunan lagu untuk AJL 32 kelak, saya akan menghadiri kelas vokal dengan Cikgu Shafi.

“Saya dan pihak pengurusan sudah merangka konsep persembahan dan bakal melakukan kelainan, Insya-Allah,” katanya lagi.

AJL 32 bakal berlangsung pada 11 Februari 2018 serta dihoskan Alif Satar dan Sherry Alhadad.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Wany