Pelakon filem Busker, Daiyan Trisha mengakui sekarang masa yang sesuai untuk dia kembali memberi fokus sepenuhnya dalam bidang hiburan.

Menurut Dayan, sebelum ini dia terpaksa berehat selama dua tahun untuk memberi fokus kepada pelajarannya dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda.

"Alhamdulillah, saya baru saja tamat pengajian dan selepas ini boleh beri komitmen yang lebih kepada lakonan dan nyanyian.

"Syukur, rezeki dalam bidang seni masih lagi ada kerana sebelum ini saya harus memberi keutamaan terhadap pengajian.

"Sekarang saya boleh kembali fokus kepada kerjaya kerana baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam pengkhususan pemasaran.

"Jujur, sebelum ini memang banyak masa diberikan terhadap pengajian kerana bagi saya pelajaran penting pada masa depan," katanya kepada Astro Gempak.

Dayan berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pelancaran Filem Busker, di Bentley Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Dayan, filem Busker turut dibintangi oleh Hafeez Mikail, Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Busker arahan Syed Khairul Fariz di seluruh pawagam bermula 11 Januari 2018.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi