Penyampai radio Sinar Pagi, Angah Raja Lawak akui isterinya, Amira Asyura Abd Razak, 23, sedikit terasa apabila ada pihak yang mula bertanya soal anak.

Angah berkata, isterinya terlalu mengiginkan cahaya mata, namun rezeki tersebut belum tiba.

“Biasalah, bila dah kahwin orang tanya soal anak dan sebagainya. Saya perasan juga bila orang tanya tentang anak, isteri berubah air muka dia.

“Saya faham dia terasa kerana dia memang nak sangat menimang cahaya mata. Maklumlah ini pula perkahwinan pertamanya.

“Tapi saya ada beritahu dia, anak ini bukannya macam kereta yang boleh dibeli kerana ia datang dengan izin Allah.

“Sebagai suami, tanggungjawab saya untuk memujuk dia supaya tidak terlalu bimbang atau kerap berfikir tentang perkara itu,” katanya kepada Astro Gempak.

Pun begitu, Angah, 40, memberitahu dia tetap berusaha dan berdoa agar suatu hari nanti mereka dikurniakan cahaya mata.

“Kami tidak pernah merancang dan sentiasa berusaha untuk menimang cahaya mata.

“Saya pun berdoa agar kami segera memiliki zuriat sendiri,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Amira pada 19 Februari 2016.

Dalam perkembangan lain, kerjaya Angah kini diuruskan isterinya, Amira.

Teks oleh: Syafiqah Jalal