Pelakon Hafeez Mikail mengakui sekarang bukan masa yang sesuai untuk dirinya bergelar sebagai seorang penyanyi solo.

Hafeez atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Muhammad Zaki, 25, berkata, buat masa sekarang dia lebih selesa untuk bergerak sebagai sebuah band iaitu bersama kumpulan Simfoni Dalam Poket.

"Saya ada menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman yang berminat menjadikan saya sebagai penyanyi solo, tapi saya terpaksa tolak dulu buat masa sekarang.

"Saya perlu belajar betul-betul dalam bidang nyanyian barulah fikir semula tentang tawaran yang diberikan itu.

"Tapi untuk Simfoni Dalam Poket pula, Monoloque yang akan uruskan sebab dia yang cipta kumpulan ini.

"Bahkan kalau boleh dia secara peribadi mahukan band Simfoni Dalam Poket menjadi sebuah band di pentas realiti," katanya kepada Astro Gempak.

Hafeez berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Filem Busker, di e@curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Hafeez filem Busker turut dibintangi oleh Dayan, Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Busker arahan Syed Khairul Fariz di seluruh pawagam bermula 11 Januari 2018.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi