Aktres jelita, Nur Fazura bakal berkongsi berita gembira sekiranya dia benar-benar hamil.

Sebelum ini, menerusi sebuah video yang tular di laman Instagram, Fazura secara bergurau mengatakan dia mengidam selepas ada seorang wanita bertanyakan mengapa pelakon itu tidak berhenti makan.

Peminat mula berspekulasi dan ada juga yang mengatakan perkara tersebut sebagai salah satu tanda awal kehamilan.

“Sejujurnya, saya sendiri belum tahu yang saya hamil atau tidak. Saya belum melakukan sebarang pemeriksaan.

“Saya memang kuat makan pun, ramai orang tahu yang saya gemar menikmati makanan dan selepas itu saya harus bersenam untuk mengimbanginya.

“Video tersebut hanya sebagai satu gurauan sahaja. Tak sangka perkara tersebut diperkatakan.

“Jika benar saya disahkan hamil, saya akan umumkan kepada semua pihak, Insya-Allah. Jika ada berita baik, pastinya saya akan kongsi. Buat masa sekarang, doakan yang baik-baik,” kata Fazura yang ditemui sebelum majlis tayangan filem Ayat Ayat Cinta 2 bersama peminat sebentar tadi.

Memegang watak Brenda, pelakon ini meluahkan rasa bertuah kerana dapat bekerja dengan produksi terkenal Indonesia.

“Saya tak mengambil masa yang lama untuk bersetuju. Penglibatan saya dalam filem ini saya sifatkan sebagai peluang dan rezeki untuk saya kembangkan portfolio sebagai pelakon.

“Alhamdulillah, filem ini mendapat sambutan positif di Indonesia dan saya berharap filem ini mendapat respon serupa di Malaysia,” katanya lagi.

Selain Fazura, Ayat Ayat Cinta 2 yang dijayakan oleh Fedi Nuril, Dewi Sandra, Chelsea Islan, Bront Palarae dan ramai lagi ini telah mula ditayangkan di Malaysia semenjak 11 Januari lalu.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Fazura