Demi artis kesayangan, seorang peminat setia juara Gegar Vaganza 4 (GV4), Aishah, bergadai nyawa hingga terbabit dalam kemalangan jalan raya pada awal pagi Sabtu lalu.

Berita itu dikongsikan sendiri oleh Aishah yang turut terkejut apabila dimaklumkan ahli kelab peminatnya sebelum bermulanya majlis meraikan kelab peminatnya, Aishah FC.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan ada salah seorang ahli Aishah FC kemalangan pagi sebelum acara bermula.

"Difahamkan dia sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Johor ke stesen bas untuk ke Kuala Lumpur.

"Mungkin kerana waktu terlalu awal pagi, dia terbabas dan terjatuh longkang. Kasihan dia...

"Semoga dia kembali sihat dan tiada kecederaan yang serius," kata Aishah.

Majlis meraikan Aishah FC yang berlangsung di Firezone, Melawati Mall, Selangor itu dihadiri oleh lebih 30 orang ahli.

Pada majlis itu juga, Aishah FC membuat kejutan meraikan ulang tahun kelahiran ke-53 Aishah.

"Alhamdulillah, walaupun program GV4 sudah tamat hubungan kami antara ahli Aishah FC masih rapat dan sentiasa berhubung," tambah Aishah.

Teks oleh: Amri Hassan