Fadzil Zahari, adik kepada pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil mengesahkan pistol yang ‘dibawa’ abangnya seperti dakwaan pengarah Shuhaimi Lua Abdullah merupakan ‘props’ penggambaran.

Tambah Fadzil, pistol tersebut bukan bukan milik Farid Kamil yang di bawa ke set penggambaran, seperti didakwa Shuhaimi Lua sebaliknya ia merupakan ‘props’ dari set penggambaran itu sendiri.

“Pistol itu pistol mainan. Ia ‘props’ yang digunakan untuk penggambaran itu. Apa motif Shuhaimi memberi kenyataan yang mengelirukan orang ramai?

“Dia sebagai pengarah di situ, takkan tidak tahu ‘props’ penggambaran hilang? Itu sahaja yang boleh saya komen setakat ini,” jawabnya ringkas ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pengarah Shuhaimi Lua kepada sebuah akhbar, hari ini (Ahad).

Menerusi akhbar tersebut Shuhaimi Lua mendedahkan selain menampar pelakon Ridzuan Hashim, Farid turut membawa sepucuk pistol ke lokasi penggambaran drama arahannya, Uniknya Cinta.

Shuhaimi mendakwa dia ternampak pistol dipinggang aktor tersebut tetapi tidak pasti keaslian senjata api itu.

Dakwa Shuhaimi lagi, pelakon Lagenda Budak Setan itu turut menengking seorang jurukamera tanpa sebab.

“Dia bukan pelakon dalam drama saya tapi mungkin dia datang kerana lokasi penggambaran itu milik Sofi Jikan, sahabatnya,” kata Shuhaimi Lua kepada Mingguan Malaysia.