Pelawak Ali Puteh mengakui kejayaan yang diperolehi abangnya Abam Bocey, merupakan pembakar semangat untuknya menjadi seorang pelawak hebat pada masa depan.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 27, berkata, sebagai pendatang baru dalam indusrti tanahair, dia memerlukan tunjuk ajar daripada abangnya untuk membuat lawak.

"Kejayaan abang saya itu merupakan satu titik tolak untuk saya berusaha lebih keras lagi supaya menjadi seorang pelawak yang hebat dan setanding dengannya.

"Dia akan memberi semangat untuk saya supaya menjadi lebih baik kerana sebagai seorang pendatang baru saya harus banyak belajar dan menerima teguran daripada abam.

"Saya cuma mengikut bagaimana cara untuk bermain dan mendapat tepukan daripada penonton tetapi saya tidak cuba untuk meniru lawaknya," katanya kepada Astro Gempak.

Ali merupakan ahli kumpulan Monyet Mafia telah disingkirkan di pentas suku akhir Super Spontan Superstar (SS Superstar) yang berlangsung pada malam Jumaat lalu.

Tambahnya lagi, kejayaan menempatkan diri sehingga ke suku akhir dalam SS Superstar merupakan satu pencapaian luar biasa bagi dirinya.

"Sebagai seorang pelawak underdog saya rasa ini merupakan pencapaian terbaik saya kerana dapat bertahan sehingga minggu suku akhir.

"Ini merupakan penampilan pertama saya dalam SS Superstar kerana sebelum ini saya cuma diberi peluang untuk membuat VT sahaja," jelasnya lagi.

Sementara itu tinggal empat lagi ahli Harimau Hipster iaitu Ozlyn, Fad, Abam dan Tauke akan berentap menentang Johan, Altimet, Kamal Adli serta Achey dari kumpulan Monyet Mafia di peringkat Separuh Akhir pada minggu hadapan.

SS Superstar dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Amir Raja Lawak pula bertindak sebagai ‘pengacau’ atau ‘batu api’.

Program lawak paling ‘stailo’ ini juga bersiaran secara langsung dari Dewan Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada setiap Jumaat bermula jam 10 malam dan ditayangkan serentak menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).