Pelakon, Datuk Farid Kamil ditahan kerana menampar polis ketika hadir untuk membuat laporan berkaitan satu kes kemalangan jalan raya tengah hari tadi.

Menurut sumber, Farid Kamil secara tiba-tiba telah menampar muka petugas yang menerima aduan itu ketika berurusan di kaunter trafik.

Difahamkan, Farid bertindak demikian selepas petugas di kaunter menunjukkan mesej "300 artis meminjam ah long kerana tiada kerja" dan bertanyakan tentang isu tersebut.

Kejadian yang berlaku pada pada jam 1.20 tengahari di kaunter trafik Balai Polis Kota Damansara turut disaksikan oleh beberapa anggota lain dan orang awam ketika berurusan di kaunter berkenaan.

Selain itu, dia turut menendang kaki orang awam di dalam balai sebelum ditahan beberapa anggota polis lain.

Farid Kamil ditangkap kerana kesalahan merusuh, berkelakuan tidak senonoh dan menyerang serta mencederakan anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

Farid Kamil baru sahaja dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Disember lalu.