Bekas Juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin mengakui bukan mudah untuk menguruskan sesebuah perniagaan.

Menerusi entri di Instagram (IG), Mila telah berkongsi rahsianya sehingga berjaya bergelar usahawan sehingga hari ini.

"Alhamdulillah, setelah memulakan perniagaan hampir lapan tahun lalu banyak sangat perkara yang saya belajar.

"Bukan mudah untuk berniaga restoran (Daily Cash) ni, ia memerlukan displin yang tinggi untuk menguruskannya.

"Ramai yang tanya saya apa rahsia untuk kekalkan perniagaan restoran hampir lapan tahun.

"Selain daripada displin yang tinggi, satu lagi tips ialah banyakkan sedekah kerana di restoran saya tiap-tiap hari kami sedekahkan makan malam percuma buat rumah tahfiz berdekatan.

"Selain mencari keuntungan dalam perniagaan, carilah juga kebaikan dan redha dari Allah. Insya Allah sama-sama kita berjaya dunia dan akhirat," tulisnya.

Menurut Mila, dia sudah menjalankan perniagaan Restoran Embun Urain yang terletak di Tasik Prima, Puchong sejak tahun 2010 lagi.