Pelakon Beto Kusyairy meluahkan rasa kesal dengan lambakan drama yang memilih untuk menyajikan jalan cerita sama berulang kali.

Kata Beto, dia sudah bosan dengan skrip dan sinopsis sama yang ditawarkan namun mengakui golongan artis terpaksa mengikut permintaan produser bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Tak sudah-sudah dengan kisah cinta berlainan taraf dan kahwin paksa untuk gabung atau selamatkan empayar perniagaan ini.

"Sampai bila kita nak duduk di takuk ini? Inikah yang majoriti penonton kita nak?

"Skrip dan sinopsis yang ditawarkan asyik pusing benda sama, nama watak dan bisnes sahaja yang lain. Boring gila!

"Konsep demand & supply? Cinta sweet-sweet yang jauh dari realiti. Hidup kita ini memang dengan fantasi dongeng semata saja ke?

"Isu pokok di sini adalah content. Content is the king!" tulisnya di Twitter.

Luahan itu mendapat sokongan daripada rakan selebritinya seperti Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Nabila Huda, Rewan Ishak dan bintang filem Busker, Anas Ridzuan.

"Sebenarnya ramai sahaja dari kalangan kami yang tidak berkenan dengan hal ini tapi tak berdaya sebab ada mulut yang nak disuap dan bil yang perlu dilangsaikan.

"Nak tak nak terpaksa juga buat bila itu saja tawaran yang ada," tambah Beto.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Twitter Beto Kusyairy