Adik kepada pelawak terkenal, Achey Bocey, Nornatasha merupakan antara peserta program baru terbitan Astro, Gegar Lawak.

Natasha atau nama sebenarnya Nornatasha Hamzah, 25, akui mendapat galakan daripada abangnya untuk menyertai program realiti tersebut.

“Alhamdulillah, rezeki dan saya pun tak sangka dapat sertai program ini.

“Tipulah kalau saya kata tak gementar tapi atas semangat dan dorongan yang diberikan oleh abang, saya beranikan diri,” katanya.

Natasha ditemui Astro Gempak selepas sidang media Gegar Lawak di Komedi Planet yang bertempat di pusat membeli-belah Great Eastern Mall, pada Isnin.

Selain Natasha, 13 lagi peserta lain terdiri daripada peserta solo, duo dan trio.

Mereka adalah Hezrey, Eyya, Ayim, Padil, Abe, Rizal, Bayu, Testo, 2B, Candy, Sogeh, Kiut dan Abata.



Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata program berkonsepkan nusantara yang melibatkan peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Kami percaya program ini mampu melahirkan bakat baru yang boleh menjadi pelapis kepada pelawak-pelawak di Malaysia.

“Mereka inilah yang akan menjadi anak seni yang disegani dan memiliki nilai komersial yang tinggi pada satu hari nanti sama seperti Johan, Zizan Razak, Nabil Ahmad, Jihan Muse, Bocey Sepahtu, Fikry dan ramai lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon Kamal Adli dan pelawak Fad Bocey pula dipilih sebagai hos program berkenaan.

Manakala pelawak Tauke, Nizam Jentik- Jentik, Ali Puteh dan Dzawin ditugaskan sebagai penasihat lawak yang akan membimbing serta membantu para peserta.

Sementara itu, pelawak Douglass Lim dipilih sebagai juri tetap.

Gegar Lawak bakal bersiaran secara langsung setiap Jumaat, jam 10.00 malam bermula 19 Januari ini di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 134).

Program ini juga boleh ditonton menerusi platform digital, Astro GO dan ‘On Demand’.

Teks oleh: Mya Amri