Pelakon drama bersiri My Coffee Prince, Janna Nick dan pelawak serta penyampai radio, Ajak Shiro, hos baru Melodi.

Ajak dan Janna bakal menggantikan tempat yang ditinggalkan Awal Ashaari serta AG dan tugas baru mereka akan bermula pada Ahad ini.

Berita ini disampaikan pihak TV3 menerusi sebuah kenyataan media.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang mengatakan Janna bakal menggantikan tempat Awal dan AG namun perkara itu tidak disahkan oleh pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu.

Awal mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari program tersebut selepas enam tahun bergelar pengacara manakala AG pula mengundurkan diri selepas tiga tahun menggalas tugas sebagai hos Melodi.

Selebriti terkemuka seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud, Datuk Aznil Nawawi, Raja Azura dan Fara Fauzana pernah menggalas tugas sebagai hos program popular tersebut.

Teks oleh: Kamaruddin Razal