Tinggal beberapa jam lagi kita bakal meninggalkan tahun 2017, pelbagai azam mula disemat termasuk penerbit dan pengarah tersohor, Erma Fatima.

Erma menerusi Instagramnya memberitahu dia berikrar untuk tidak lagi membeli barangan berjenama melainkan dua jenama yang menjadi pakaian hariannya iaitu Nike dan Adidas.

"Inilah alatan masa kini yang akan menjadikan kita riak!

"Saya berikrar tidak akan membeli beg, kasut dan sebagainya yang berjenama selepas ini, kecuali Adidas dan Nike kerana ia adalah kasut harianku.

"Tiada lagi barangan berjenama... Tiada lagi pembaziran!" tulisnya.

Inilah TOOL masakini yg akn menjadikan kita RIAK! Sy berikrar TIDAK AKAN MEMBELI branded bag, shoes dan sebagainya lagi selepas ini ( kecuali Adidas dan Nike ) ??? sbb sport shoes adlh kasut harianku. NO MORE BRANDED..NO MORE PEMBAZIRAN... ???? ###mcmnksedekahbag2brandedsy

A post shared by Ermafatima (@ermafatima) on


Sementara itu, tambah Erma tahun 2017 banyak meninggalkan kenangan pahit dan manis dalam hidupnya.

"2017 hampir meninggalkan aku, terlalu banyak kenangan pahit dan manis. Apapun, syukur ke hadrat Allah kerana masih mengizinkan aku menghidu bauan syurga dunia-Nya.

"Terlalu banyak ibadat terabai kerana kerja-kerja dunia, kurniakan aku kekuatan agar dapat melawan bisikan syaitan.

"Aku akan pastikan tidur sebelum pukul 12 tengah malam supaya kesihatan terjamin. Setidak-tidaknya aku dapat hidup lama sikit untuk menyelesaikan tanggungjawab aku yang tersisa.

"Dah jadi janda, tanggungjawab makin besar," tambah Erma.

Tahun 2017 menjadi titik baharu Erma selepas sah bercerai dengan bekas suaminya, Bade Azmi pada 17 Ogos lalu selepas 26 tahun mendirikan rumah tangga.

Namun, tahun 2017 juga melakar sejarah bagi Erma apabila drama Pesan Dari Tuhan terbitannya dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2017 dan membolot tiga trofi pada November lalu.

Malah, jenama pakaiannya, Mak Cun berjaya merintis jalan ke Torino Fashion Week, Itali pada Jun lalu.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @ermafatima