Filem Interchange Dapat Pengiktirafan Dunia

3 Oktober 2016. 4.57 PM
69,340
Hiburan
Filem Interchange Dapat Pengiktirafan Dunia

Penerimaan filem terbaru arahan sutradara Dain Iskandar Said, Interchage ke pelbagai festival filem seluruh dunia membuktikan filem tersebut menerima pengiktirafan dunia.

Filem yang selesai penggambarannya pada tahun 2015 itu memberi keterujaan di kalangan penganjur festival filem dan sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.

Selepas mendapat sambutan luar biasa daripada penonton dan penganjur filem festival antarabangsa Locarno di World Premiere filem tersebut 5 Ogos lalu, filem ini dijemput pula untuk ditayangkan sebagai tayangan perdana Amerika Utara di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada September.

Filem yang diterbitkan oleh Apparat dan dibiayai oleh Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Filem Nasional (FINAS) ini telah berjaya menyertai beberapa festival filem di serata dunia seperti Locarno International Film Festival, Toronto International Film Festival, Etrange Paris Film Festival dan Vladivostok International Film Festival.

Interchange juga dijadualkan untuk menyertai BFI London International Film Festival, Sitges International Fantastic Film Festival dan Singapore International Film Festival.

Mengisahkan tentang seorang detektif, Man, lakonan Shaheizy Sam bersama seorang jurufoto kes jenayah Adam (Iedil Putra) terlibat dalam satu siri kes pembunuhan ngeri di sebuah bandar yang dipenuhi dengan rahsia.

Kes kematian yang berlaku lima bulan lalu amat mengerikan sehingga memberi igauan kepada Adam. Sejak dari peristiwa itu, Adam bersendirian di rumah dan meluangkan masa mengambil foto dari balkoni apartmennya.

Daripada aktiviti seharian yang membosankan itu, ia bertukar menjadi lain. Dari lensa kameranya, Adam mengintip Iva (Prisia Nasution), seorang wanita menawan berasal dari Borneo yang baru sahaja berpindah ke apartment berhadapan dengan Adam.

Dia kini dikelilingi misteri, pembunuhan dan huru-hara. Tatkala Adam dibawa masuk ke dalam dunia puak asli Iva, Man berjaya mengorek kes pembunuhan yang berlaku dan akhirnya berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik, ngeri dan dipenuhi dengan kepercayaan-kepercayaan dahulukala yang kembali hidup.

 Filem hebat ini dijangka menemui peminat filem di pawagam pada 1 Disember 2016.



Artikel Berkaitan


Komen